Friday, February 12, 2010

XPDC daki Kinabalu








Ekspedisi Dan Kejayaan Menakluk Puncak (Summit 4095.2 m) Kinabalu Warga JKKP Sabah & W.P Labuan
6-8/02/2010
Satu ekspedisi ulung pendakian Gunung Kinabalu anjuran PKS JKKP Sabah & W.P Labuan telah diadakan pada 6-8/02/10. Seramai 11 orang warga JKKP Sabah & W.P Labuan telah menyahut cabaran pendakian ini. Pengarah sendiri, Ir Mohamad Razak Bin Ismail, telah mengetuai eskpedisi ini.
Ekspedisi ini merupakan satu aktiviti riadah Jabatan yang telah di diilhamkan sendiri oleh Pengarah JKKP Sabah & W.P Labuan. Kain rentang bertemakan JKKP Sabah & W.P Labuan dikibarkan di puncak Gunung Kinabalu di aras ketinggian 4095.2 meter dari aras laut sebagai satu simbolik kejayaan kepada peserta JKKP Sabah & W.P Labuan yang mana telah menjejakkan kaki di puncak Gunung Kinabalu.

Ekspedisi bermula dengan ketibaan semua peserta di Pejabat JKKP Sabah & W.P Labuan, Wisma PERKESO. Majlis ucaptama daripada Pengarah dan bacaan doa daripada wakil peserta telah diadakan sebelum bertolak ke Kinabalu Park yang terletak di kaki Gunung Kinabalu.
Setibanya di Kinabalu Park (4.30 ptg), peserta-peserta mendaki telah merasai kedinginan suhu di kawasan kaki Gunung Kinabalu. Kedinginan suhu mengegarkan dan menyemarakkan semangat setiap peserta pendakian. Dari kaki gunung dapat dilihat nun puncak Gunung Kinabalu yang terserlah daripada celahan awan, seolah-oleh melambai kedatangan pendaki ke puncak. Tertanam dihati setiap peserta untuk menawan puncak Gunung Kinabalu nun jauh di awan biru.



















Keesokan harinya ( 9.00 pg, 7/2/10), pendakian bermula dari Timpohon Gate menuju ke Laban Rata. Perjalanan sejauh 6 km yang mengambil masa selama 6 jam sungguh memeritkan. Sapaan dan kata-kata semangat yang diberikan oleh peserta lain terutamanya dari luar negara memberi cetusan semangat kepada warga pendaki JKKP Sabah & W.P Labuan. Setelah tiba Laban Rata , kesemua pendaki diberi masa untuk berehat dan memulihkan tenaga dan membuat persediaan sebelum memulakan cabaran seterusnya untuk mendaki ke puncak Kinabalu sejauh 2.6 km. Suhu di Laban Rata dicatatkan sekitar 10OC sudah cukup untuk membuatkan pendaki menggigil kesejukan walaupun sudah mengenakan beberapa helai lapisan pakaian.


Pendakian ke ‘Low Peak’ yang merupakan cabaran paling getir diteruskan pada seawal 2.00 pagi hari berikutnya (8/02/10). Perjalanan sejauh 2.6 km mengambil masa selama 4 jam dengan suhu kedinginan sekitar 2oC. Satu lagi keagungan ciptaan Allah dapat disaksikan oleh pendaki sebagai renungan untuk meningkatkan ketakwaan kepada Ilahi. Cuaca yang cerah membuatkan pemandangan dari puncak sejauh mata memandang, sehinggakan kepulauan di Filipina jelas kelihatan.












Dengan berkat doa dan latihan intensif yang dilakukan, semua peserta berjaya menakluki gunung yang tertinggi di Asia Tenggara. Pendaki JKKP Sabah & W.P Labuan, En Mat Yusrizam telah mengambil masa selama 3 jam 45 minit untuk sampai ke Laban Rata dari Timpohon Gate. Manakala dari Laban Rata ke Low Peak Summit yang jauhnya 2.6 km, beliau mengambil masa selama 2 jam 30 minit dan sampai pukul 5.15 am. Beliau merupakan peserta yang ke-4 sampai di Low Peak Summit daripada 105 orang peserta yang mendaki pada 8/02/2010.
Terima kasih diucapkan kepada urusetia penganjur yang bertungkus lumus menganjurkan program yang mampu meninggalkan catatan sejarah dihati setiap pendaki. Syabas kepada semua pendaki terutamanya Pengarah JKKP Sabah & W.P Labuan yang menjadi pemangkin semangat dan membuatkan pendaki lain yang terdiri daripada golongan belia sentiasa tercabar melihat kekuatan dan keazaman beliau mendaki hingga ke puncak (4095.2 m)…….


Sajak
Kau diselimuti kain putih,
Seputih salju, tiada guris,
Nafas mu menggigit ke sumsumku,
Lukisan mu, sungguh memukau mata ku,
Sesekali kau melihat dibalik kain,
Memberi harapan kepada yang lain,
Untuk bertekad azam meniti dirimu,
Menyentuh hidungmu dikala tidur.
Cetusan ilham: MSR


Disediakan oleh : Mohd Shahril Ramli
Upacara Penyampaian Sijil Sampai Ke Puncak 11/02/2010